sdf Pictures, Images and Photos

Friday, August 28, 2009

HIDAYAH CINTA




Pertama kali membaca novel ilham hamdani membuatkan ana terpesona dengan latar cerita di Negara Matahari Terbit ini , terasa seperti berada di sana bersama Umar Thilmisani. Ana terpikat dengan penceritaan Ilham Hamdani sehingga membuatkan ana yang tidak sebegitu minat membaca novel ‘melekat’ dengan buku ini dan  tidak sabar hendak mengetahui akhiran cerita. 


Thilmisani seorang anak tunggal yang dipelihara oleh datuk dan neneknya di kampung. Papanya seorang yang penting dalam kerajaan dan sering ke luar negara menghadiri persidangan-persidangan besar seperti PBB. Mamanya meninggal dunia ketika mengandung kali kedua dan ketika itu usia kandungan hampir mencecah sembilan bulan. Maka tinggallah Thilmisani dan papa. Ketika ingin melanjutkan pelajaran , Thilmisani tersepit antara keinginan datuknya yang ingin dia mendalami ilmu agama dan kemahuan papa yang telahpun mendapatkan tempat belajar baginya di Jepun dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan Akhirnya beliau terbang juga ke Jepun memenuhi hasrat papanya.


Dia seorang yang berjiwa seni dan bersifat tenang membuatkan dia menjadikan Tasik Senba sebagai lokasi lazimnya pada setiap pagi Ahad. Di situ dia akan melukis apa sahaja dan menyimpannya sebagai satu koleksi peribadi dan ada juga yang dihadiahkan kepada teman-temannya. Pada satu hari, ada seorang gadis Jepun hampir lemas di tasik itu , Thilmisani bertindak menyelamatkannya tetapi malang sekali apabila dia dimaki oleh gadis tersebut dan hanya rakan gadis itu yang beria-ia mengucapkan terima kasih.


Gadis tersebut bernama Takahashi Ayumi yang mana sebulan sebelum insiden tersebut Ayumi berasa terhina apabila Thilmisani tidak menyambut salam persahabatannya tetapi berkata dengan lembut mengenai agamanya yang tidak membenarkan sentuhan antara lelaki dan perempuan sesuka hati.


Awal-awal cerita lebih kepada monolog Thilmisani yang terkenangkan orang yang berada disekelilingnya dahulu. Teringat kata naqib Thilmisani : Kita ini khalifah Allah, di mana-mana pun tugasnya sama iaitu menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama. Pesan nenek Thilmisani : Ilmu di dada perlu diamalkan, perlu dilazimkan saban waktu dan kemudian sebar-sebarkan. Kalau tidak, ilmu itu ibarat pohon rendang yang tak beri buah kepada tuannya.


Melalui buku ini beberapa ilmu dapat ana kutip kerana Ilham Hamdani tidak hanya bercerita tentang kehidupan Thilmisani di Jepun semata-mata tetapi cuba memasukkan isu-isu lain yang membawa sedikit kelainan berbanding novel lain seperti munculnya sahabat Thilmisani dari Palestin yaitu Ahmad Atiq yang banyak menceritakan perihal tanah tumpahnya itu sesekali hingga menimbulkan semangat dan kesedihan. Banyak kali juga sensitiviti dan sikap umat Islam disindir secara sinis kerana dilihat tidak begitu mengambil peduli akan nasib saudara di Palestin.


Yang kedua ialah kisah saudara baru memeluk agama Islam apabila Ilham Hamdani memasukkan ayat-ayat Quran yang berkaitan dengan sains sebagai asbab terbukanya pintu hati insan-insan terpilih ini untuk menerima hidayah Islam seperti Ayumi , otousan (Bapa angkatnya) , okaasan (ibu angkatnya) dan papa Ayumi. Ayumi yang berfahaman Atheis (tidak percaya wujudnya tuhan) sebenarnya dalam pencarian mencari Tuhan sama seperti Nabi Ibrahim mankala Otousan dan okaasan pula memeluk Islam dengan asbab Thilmisani menghadiahkan tafsir al-Quran terjemahan dalam bahasa Jepun kepada mereka dan papa Ayumi pula mengkaji agama baru yang dianuti oleh anaknya selepas dia membelasah anaknya kerana menganut agama Islam.

Bercerita mengenai kisah saudara baru , ana tertarik dengan cara otousan memeluk Islam. Otousan seorang jurutera yang terlibat dengan pembinaan turbin janakuasa hidro dan memang terlibat secara langsung dengan air. Pada satu hari ketika selepas kejadian Thilmisani membantu mencari isterinya yang tertekan dan minum arak sehingga benar-benar mabuk, Thilmisani ada menghadiahkan tafsir al-quran itu dan meletakkannya di atas meja. Otousan mengambil buku itu tanpa tujuan sebenarnya dan dengan kuasa Allah, dia terbuka ke halaman yang mengandungi ayat ini : “Dan Kami turunkan air itu dari langit menurut ukurannya, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya..” (Surah al-Mukminun : 16). Otousan juga membaca beberapa ayat yang berkaitan iaitu Ayat 17 Surah ar-ra’du, surah Faathir ayat ke-12 dan surah al-Furqaan ayat ke-53. Dan tidak ada keraguan lagi dalam dirinya dan dia merasa takjub. Otousan yakin ada Pencipta yang Maha Kuasa yang menjadikan semua ini dan bukanlah kejayaan projek-projek membina empangan ini disebabkan kepakaran para jurutera. Malahan, ada 3-4 orang rakan sekerja otousan yang memeluk Islam selepas membaca ayat-ayat ini. Subhanallah!


Ayumi pula anak tunggal yang datang dari keluarga yang berada dan berpendidikan tinggi. Papanya seorang pensyarah kanan astronomi dan penganut Taoisme dan mamanya seorang suri rumah. Taoisme adalah agama yang menolak konsep ketuhanan. Ayumi belajar agama Islam dengan Thilmisani dan Sister Arwa selepas diperkenalkan oleh Thilmisani kepadanya. Sikapnya yang bersungguh-sungguh mempelajari Islam menimbulkan rasa kagum ana kepadanya. Sedangkan kita yang sedia muslim sejak lahir mungkin tidak begitu kuat usaha mendalami ilmu agama seperti Ayumi. Dia sendiri belajar bahasa Arab hampir setiap minggu dengan Sister Arwa. Pengislamannya dirahsiakan daripada sesiapa pun termasuk rakan karibnya, Yumiko.


Akan tetapi dugaan Allah tetap juga datang bagi menguji keimanan hambaNya. Pada malam hari raya , papa Ayumi datang membelasah Ayumi kerana begitu marah apabila mengetahui anaknya memeluk agama Islam. Ketika itu semua pelajar muslim baru selesai solat berjemaah dan sedang membincangkan tentang wang zakat yang dicadangkan untuk diberi kepada Ayumi di bawah asnaf mualaf. Apabila terdengar bunyi bising masing-masing mula keluar dan melihat apa yang terjadi. Keadaan Ayumi agak teruk sehingga ketingnya berdarah-darah diseret papanya sambil dipukul tetapi Ayumi tidak membantah walaupun terasa sakit diseret di atas jalan bertar. Ayumi tahu papanya marah kerana jahil tentang agama Islam tetapi dia yakin jika satu hari papanya mendapat hidayah , papanya akan menjadi penganut Islam yang paling taat. Ayumi di kurung hampir 3 bulan sehinggalah apa yang didoakan Ayumi termakbul. Papanya berminat kepada Islam dan membenarkannya bertemu dengan Thilmisani kembali yang dia begitu cintai


Pada ketika itu Thilmisani baru sahaja selesai menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang kepada sahabat karibnya yaitu Koyama Hiroo. Hiroo menghidap penyakit buah pinggang dan kedua-dua buah pinggangnya telah rosak tapi dia berdegil untuk tidak membuat pembedahan.Namun selepas dipujuk oleh Thilmisani atas nama ‘saudara’ mereka akhirnya mereka berjaya menjalani pemindahan tersebut. Walaupun mereka berlainan agama dan bangsa, itu semua tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk bersahabat baik dan mungkin satu hari nanti Hiroo akan memeluk Islam. .


Ana tidak berniat untuk mengulas lebih panjang kerana masih ada lagi kisah yang tidak disentuh iaitu mengenai Brother Qusai sekeluarga , Zara Marlisa yang mengada-ada yang akhirnya koma kerana dilanggar lari dan papa Thilmisani sendiri. Pada ana , novel ini persis bunga bunga sakura yang tidak akan hilang seri meski alam saling bergantian antara musim musim dingin yang menikam , musim bungan yang riang , panas yang menggigit dan luruh yang asyik. Syabas Ilham Hamdani!


Akhi Ilham Hamdani

p/s Aana baca buku nih masa umi pinjam dari Perpustakaan Negara dan sampai hari nih ana masih tercari cari buku nih tapi tak jumpa di mana mana kedai buku. cerita yang sangat menarik untuk dibaca dan dikongsi.

No comments:

Post a Comment